Sunday, 5 February 2012

Seandainya Rasulullah SAW Bersama Doktor


Saya teringat ketika di sebuah majlis meraikan pelajar tahun akhir, seorang tokoh yang saya segani memberi nasihat sebagai bekalan sebelum kami menempuh dunia pekerjaan.

“Nanti apabila beri rawatan kepada pesakit, jangan ingat tak ada yang menilai. Semasa awak belajar di sini, kami yang menilai. Sudah bekerja pun masih ada yang menilai.” Sambil jari telunjuknya dihalakan ke atas.

Kawan saya menyahut, “Oh ye ke Doktor. Ada penilai juga? Bos eh Doktor?”

“Memang ada yang menilai. Bukan siapa-siapa. Tetapi Allah SWT.” Sambil tersenyum penuh makna.

Saya muhasabah kembali diri untuk beberapa bulan di medan pekerjaan adakah saya sedar dan nampak bahawa Allah menilai setiap satu kerja saya. Istighfar.

Sememangnya kita semua sedia maklum bahawa ada pencatat di kanan dan kiri bahu untuk setiap satu perkara yang kita lakukan. Dan Allah akan menilai segala pekerjaan yang kita lakukan. Tetapi nampaknya kita sering terlupa.

Sempena sambutan kelahiran Rasulullah SAW yang dilahirkan 1433 tahun yang lalu, saya ingin kongsikan 5 situasi seandainya Rasululllah ada bersama kita, khususnya kepada para pegawai pergigian.

Beruntungnya para sahabat kerana mereka menerima segala butir nasihat secara terus daripada Baginda. Apabila tergelincir, Rasulullah memberi teguran. Apabila melakukan kebaikan, Rasulullah memberi pujian. Cuba kita bayangkan beberapa situasi sekiranya Rasulullah ada bersama kita. Agak-agaknya apa yang Baginda akan katakan kepada kita? Baginda mungkin menegur apa dan yang mana? Baginda mungkin memuji apa dan yang mana?

Situasi 1

“Assalamualaikum Puan. Sila duduk, saya akan buat pemeriksaan.”

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”(Riwayat Al-Tabrani)

Cadangan:

  • Memberi salam kepada pesakit yang beragama Islam
  • Mengucapkan selamat sejahtera kepada yang bukan beragama Islam
  • Meraikan pesakit dengan mempersilakan mereka duduk.
  • Memanggil pesakit dengan pangkat yang bersesuaian dengan umurnya beserta nama sekali.

Situasi 2

“Doktor, bolehkah gigi ini ditampal? Saya rasa sudah lubang besar.”

“Memang besar. Kalau tampal pun mungkin sia-sia sahaja. Gigi tersebut perlu dicabut.”

“Sesungguhnya padamu ada dua sifat yang disukai Allah dan Rasul-Nya iaitu perasaan kasih dan pemaaf.” (Hadis riwayat Muslim dari Anas bin Masud)

Cadangan:

  • Ambillah sedikit masa anda memberi penjelasan dengan perkataan yang berunsur kasih dan sayang serta mendidik agar pesakit tidak berasa terlalu bersalah dan mungkin kecil hati.
  • Contohnya, “Lubang ini kalau Puan datang 5 bulan yang lalu, saya yakin InshaAllah masa itu memang dapat ditampal. Tetapi minta maaf, ia agak besar dan tiada rawatan lain melainkan cabutan. Tetapi terpulang kepada Puan apabila sudah bersedia untuk dicabut, kita akan cabut. Cuma, jika gigi tersebut dicabut lambat, mungkin akan sakit….seterusnya.”

Situasi 3

“Gigi Puan banyak sisa makanan. Pastikan Puan jaga ya kebersihan gigi.” kata Doktor.

“Yerlah Dr., very very the kotor!” sahut seseorang yang berdekatan dengan Doktor berkenaan.

“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.”(Hadis riwayat Bukhari)

Cadangan:

  • Pelihara lidah daripada menggunakan bahasa-bahasa yang negatif seperti kotor, busuk dan sebagainya.
  • Mana lebih baik, adakah ini, “Gigi Puan kotor,” atau “Gigi Puan tidak berapa bersih terutamanya di bahagian…” dan “Saya ada bau busuk masa buat pemeriksaan tadi,” atau “Biasanya sisa makanan yang berkumpul boleh menyebabkan mulut yang berbau.”
  • Nampakkah perbezaannya?

Situasi 4

“Kita kan Doktor, semua orang hormat kita.”

Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.”(Hadis Riwayat Muslim)

Cadangan:

  • Pekerjaan sebagai seorang Doktor mungkin dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi itu tidak bermakna kita berhak menuntut sedikit ataupun banyak penghormatan daripada sesiapa sahaja. Jangan terlalu taksub dengan pangkat sehinggakan kita bertindak sesuka hati kita terutamanya ketika berurusan dengan pekerja yang bekerja di bawah kita.

Situasi 5

“Ya Allah, permudahkanlah urusanku memberi rawatan kepada pesakit. Bantulah hambaMu ini untuk memberi rawatan yang benar yang dapat memberi kebaikan kepada pesakit.”

“Mahukah kamu semua aku beritahu( sifat-sifat) ahli syurga? Para sahabat menjawab . “Ya”, baginda bersabda,” Setiap orang lemah dilemahkan, andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengkabulkannya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cadangan:

  • Ambil masa di awal pagi untuk berdoa kepada Allah SWT memohon supaya setiap rawatan yang diberikan adalah rawatan yang benar dan bermanfaat untuk pesakit. Lebih cantik lagi kalau kita melazimi menggunakan kalimah-kalimah Allah ketika memberi rawatan, semudah kalimah bismillah dan Alhamdulillah. Jika kita biasa berdoa setiap kali sebelum makan, kenapa tidak kita berdoa setiap kali kita bertemu dengan pesakit?


Kesimpulan

Pekerjaan sebagai seorang Doktor menuntut kita untuk mempelajari menggunakan bahasa dengan baik dan penuh sopan. Ini adalah satu kemahiran yang tidak dapat tidak kita perlu pelajari. Kenapa?

Kerana pesakit kita adalah manusia biasa seperti kita. Mereka ada perasaan yang perlu dijaga. Jikalau kita perhati setiap pesanan Rasulullah di atas dan mengamalkannya, inshaAllah, pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi seperti ‘tikar sejadah’.

p/s : Jangan menilai saya melalui tulisan-tulisan saya. Saya bukanlah seorang yang baik dan benar sentiasa walaupun tulisan-tulisan saya mungkin adalah tulisan yang baik dan benar(Istighfar). Apabila saya menulis, saya bercerita tentang pengalaman saya sendiri. Dan situasi yang keji itu juga adalah situasi benar yang saya lakukan dan artikel ini ditulis untuk menegur diri sendiri, serta disiarkan untuk manfaat bersama.

Akhir kata, seandainya Rasulullah bersama kita, tentu Baginda merasa bangga melihat umatnya yang bekerja dalam bidang professional masih mengamalkan setiap nasihat yang Baginda berikan. InshaAllah. Sama-sama kita usahakan.

5 maklum balas:

ya Allah, artikel yang sungguh menyentuh jiwa. Membuat saya sedar betapa Islam itu telah banyak mengubati penyakit hati sesama kita. Sering kali dalam sekolah perubatan, saya akui saya kerap bersikap angkuh, kadang2 rasa hebat tak tentu pasal....sedangkan Allah bagi peluang belajar bukan kerana itu...astaghfirullahalazim....

Semoga pekerjaan ini menjadi tiket kita ke syurga, InshaAllah. Sama-sama kita saling ingat mengingati.

Salam.artikel yg sgt bgs,ubat kpd penyakit hati kite sbg doktor,keep up the good work!

Waalaikumsalam. Terima kasih. InshaAllah.

Artikel ni sumpah osem~ Mohon share di muka buku.. ^_^

Post a Comment

Twitter Facebook Favorites