SEANDAINYA RASULULLAH BERSAMA DOKTOR

Apakah agaknya baginda akan berkata pada doktor muda?

ABORTION: A MUSLIM PERSPECTIVE

Why do you believe what you believe in ethical issues? Blindfold or rational?

HOUSEMANSHIP - MY TWO CENTS

How should housemanship be?

DOKTOR MUDA DIBUANG DAERAH

Keluar dari zon selamat!

BERMINAT MENYUMBANG ARTIKEL? SERTAILAH KAMI

Kami berminat untuk menerbitkan apa sahaja artikel, grafik, kartun, cerpen yang berkaitan dengan perubatan. Kami alu-alukan sumbangan anda!

Wednesday 29 February 2012

Kembara Doktor Muda Ep 1 : Dibuang Daerah


KECEWA

Sudah 2 tahun lebih doktor muda bekerja di bandar metropolitan Kuala Lumpur. Dan dalam masa 2 tahun itu banyak rencana hidup yang dihadapinya. Ada satu perkara yang kerap melawati fikirannya. Berdepan kerenah segelintir pesakit yang sedikit ego dan keluarga pesakit yang mengugut-ugut staf perubatan tanpa segan silu.
Pesakit metropolitan bukan calang-calang pesakit.
Doktor muda sedar beliau mempunyai tanggungjawab, bersesuaian dengan status ‘doktor’nya, untuk mengambil berat dan melayan dengan baik para pesakit. Namun janganlah saja bercakap tentang hak pesakit, tetapi adalah tanggungjawab pesakit untuk membawa diri dengan sabar, menghormati dan menghargai usaha doktor dan juga staf-staf perubatan lain. Peribahasa Melayu mengajar - orang berbudi, kita berbahasa.

Doktor muda dan staf perubatan tidak meminta dan mengharap pun balasan daripada pesakit. Malah ucapan terima kasih  pun tidak dia harapkan. Cuma apabila doktor muda cuba melaksanakan tanggungjawabnya tetapi pesakit sibuk menuntut haknya dan mengambil kesempatan atas ‘kebertanggungjawaban’ itu, ianya menganggu keharmonian hubungan doktor dan pesakit.

Doktor muda semakin hilang motivasi untuk menjadi doktor.

BAWA DIRI

Orang tua ada kata, 2 tahun pertama perkahwinan adalah bagaikan syurga. Tetapi 2 tahun pertama kedoktoran adalah bagaikan neraka. Selain budaya maki hamun di tempat kerja, doktor muda merasakan generasinya kerap dilabel tidak berdayasaing dan pemalas pada kacamata masyarakat. Akibatnya doktor muda kadang-kadang  terasa semakin pudar minatnya terhadap kerjaya doktor.
Jiwa dipenjara.
Doktor muda membuat keputusan untuk membawa diri meninggalkan kota metropolitan. Berhijrah untuk memulih jiwa doktor dan mungkin mencari makna kedoktoran sebenarnya. Membawa diri ke suatu tempat yang amat memerlukan bantuan seorang doktor. Di situlah lembaran hidup baru doktor muda bermula.

DUNIA LAIN

Bermusafir ke negeri orang.

Persis menuju ke arah destinasi.
Demi Malaysia tercinta.
Akhirnya tiba hari pertama doktor muda bertugas di sebuah hospital daerah. Perkara pertama yang beliau dapati, adalah sikap dan budaya kerja para pembantu pegawai perubatan(MA) dan jururawat yang berlainan di sini. Mereka menghormati doktor muda sebagai rakan sekerja. Mereka lebih sabar, efisyen dan lebih berdayasaing dalam melaksanakan tugas.
“....maklumkan pada doktor.... jadi walau apapun berlaku, yang PENTING kita SELAMAT!” kata seorang ketua jururawat kepada stafnya, di depan doktor muda di tempat kerjanya dulu.
Doktor muda teringatkan zaman latihan perubatan siswazahnya dulu. Beliau berasa kecewa kerana merasakan ada segelintir jururawat yang bersikap lepas tangan dalam merawat pesakit. Sehinggakan doktor muda musykil adakah ada niat dalam diri mereka untuk membantu pesakit. Atau ianya hanyalah sekadar kerja mencari makan. Yang lebih menyedihkan, mereka diajar oleh ketua mereka supaya menyelamatkan diri dahulu sebelum yang lain.
Ketika doktor muda sedang sibuk ‘clerk’ kes di wad, tiba-tiba kedengaran, “Doktor, pesakit.... katil ...... dextrostix high....” Apabila doktor muda toleh mencari dari mana datang suara, tidak kelihatan jururawat di pandangan. Inilah budaya DOCTOR NOTED. Hanya sekadar memberitahu dan tidak mengambil berat tentang apakah rawatan sepatutnya diberikan pada pesakit.

Ada kawan doktor muda yang lebih teruk terkena. Selepas kerja di atas panggilan, keesokan paginya dipanggil doktor pakar kerana tidak bertindak setelah diberitahu dextrostix pesakit tinggi. Beliau yang tidak tahu menahu tentang perkara itu, hanya dapati namanya ditulis pada dokumentasi, Dr......... noted.
Jadi doktor muda rasa seronok apabila mendapat rakan sekerja yang profesional dan dapat bergantung pada mereka. Yang paling kelakar bagi doktor muda adalah apabila jururawat membentang kes setiap pesakit di wad kepada beliau setiap pagi. Sangat berbeza berbanding di hospital besar.

SIBUK BAH

Ketara di hospital daerah, ratio doktor dan pesakit adalah lebih besar berbanding hospital di bandar metropolitan. Selain menjaga wad, doktor yang sama pada hari yang sama juga perlu menjaga klinik dan jabatan kecemasan. Terbukti sibuk apabila rakan menyedari doktor muda semakin kurus(balik) sejak mula bekerja di hospital daerah. Teringat zaman latihan perubatan siswazah dulu.
Suasana tenang hospital daerah di petang hari.

Terkejut apabila perlu bekerja atas panggilan 20 hari dalam sebulan. Bagaimana seorang manusia mampu bekerja sebegitu sekali? Rupanya kerja atas panggilan di hospital daerah tidak seperti di hospital besar. Di mana doktor tetap dapat pulang ke rumah, mandi, makan dan kembali ke hospital terutamanya apabila perlu. Ini semua boleh dilaksanakan dengan adanya staf sokongan yang lebih berkebolehan dan kerjasama yang baik.

Doktor muda fikir, mungkin dahulu kala, semua pembantu pegawai perubatan dan jururawat berkebolehan seperti di hospital daerah dan doktor boleh bergantung pada mereka. Oleh sebab itulah doktor pakar sekarang sering mengungkit bagaimana mereka menjaga lebih ramai pesakit semasa mereka doktor muda dulu. Berbeza situasinya.

Doktor muda perasan berbeza sibuk dulu dan sibuk sekarang. Sekarang walau sibuk pun, tetap ada rasa kepuasan dan keseronokan dalam bekerja. Sebab dengan izin Allah swt, doktor muda membuat keputusan sendiri dalam merawat pesakit, tanpa perlu merujuk doktor pakar kecuali jika perlu. Itupun melalui telefon. Jadi tiada siapa yang hendak menengking, mengutuk, menjerit dan memalukan doktor muda di depan pesakit.

BENCI DENGAN IZIN
“Di hospital daerah, kau akan jadi boss!” kata seorang doktor pada doktor muda suatu ketika dulu.
Mungkin disebabkan masih dalam tempoh menyesuaikan diri, kesibukan dan tekanan, doktor muda dapati dirinya kerap naik angin kebelakangan ini. Habis staf perubatan lain yang menjadi mangsa. Makin menjadi apabila staf di bawahnya menganggapnya sebagai boss. Ketua jururawat di tempat dulu hanya pandang sebelah mata sahaja doktor muda, tetapi di sini mereka lebih menghormati.

Apabila doktor muda cermin diri, beliau dapati diri semakin hampir menjadi orang yang beliau benci suatu ketika dulu. Iaitu seperti pegawai perubatan dan doktor pakar yang suka melepas marah pada orang di bawahnya. Kenapa diri jadi begini, bisik hati doktor muda.

Doktor muda bermuhasabah diri dan tekad untuk berubah menjadi lebih sabar, pemaaf dan berprasangka baik. Beliau mahu buktikan bahawa tiada alasan untuk menjadi seorang doktor yang memarahi tidak menentu. Sebaliknya memimpin melalui contoh kepada staf perubatan lain dan insyaAllah kelak kepada doktor muda lain. Itulah yang beliau berpendapat gagal dilakukan oleh doktor-doktor tua kini.

MAKNA KEDOKTORAN

Walaupun baru singkat tempoh bekerjanya di hospital daerah, doktor muda merungkai mungkinkah ini makna kedoktoran? Apabila seorang doktor ikhlas memberikan yang terbaik setiap kali untuk merawat pesakit-pesakitnya. Datang lewat malam/awal pagi untuk melihat pesakit, sabar dengan kesibukan ramai pesakit, kerja lebih masa memastikan semua pesakit diberi rawatan sepatutnya, meluang masa memberi nasihat dan kata-kata untuk mententeramkan hati keluarga pesakit dan sebagainya.
Jauh dari hiruk piruk kota metropolitan,
langit tetap temani diri ke tempat baru.

Dan bukannya risau memikir, melaksana dan mendokumentasikan sesuatu untuk mengelak daripada disaman pesakit dan keluarganya.

Masih jauh lagi perjalanan doktor muda mencapai makna kedoktoran. Namun beliau sudah nampak sipi-sipinya. 

Thursday 16 February 2012

Tips Belajar Untuk Pelajar


(ARTIKEL di bawah adalah artikel yang saya tulis khas untuk Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya yang juga disiarkan di blog milik mereka. Justeru, maaf kepada anda jika dalam artikel ini saya menumpu kepada pelajar UM, walhal segala tips boleh diguna pakai untuk pelajar mana-mana universiti sekalipun.)

Menjejaki universiti pilihan, jangan menafikan perasaan yang tersirat dalam sanubari anda. Luahkan perasaan tersebut. Zahirkan. Tunjukkan. Buktikan. Bagaimana? Ikuti artikel ini sehingga ke penghujungnya. Saya akan membantu anda.Setelah berperang di alam persekolahan, diikuti pula alam matrikulasi, anda telah berjaya sampai ke tahap ini. Tinggal beberapa tahap lagi anda bakal meninggalkan universiti ini beserta ijazah yang menjadi identiti anda. Kemana-mana sahaja anda berpijak di muka bumi ini, orang mengenali anda sebagai seorang doktor.

Itulah yang anda idam-idamkan, bukan? Bergelar seorang doktor. Punyai pangkat doktor.Justeru, bagaimana anda perlu menzahirkan dan menonjolkan bahawa anda berasa cukup bersyukur dengan rahmat yang Allah berikan ini? Bahawa anda sangat berbangga bergelar seorang pelajar ijazah sarjana muda pembedahan dan pergigian? Bahawa anda cukup gembira diterima menuntut di Universiti Malaya? Bahawa anda cukup bertuah dididik oleh para pensyarah yang tiada tanding ilmunya? Bagaimana?
Jawapannya ada dalam perkataan DENTAL itu sendiri. Mari kita selidiki satu persatu.


Duduk
Saya mahu anda duduk. Terpulang kepada anda samada anda mahu duduk di atas kerusi di depan meja belajar, atau di atas katil yakni meja belajar kedua anda, atau di atas lantai yakni meja belajar ketiga anda, hatta di atas tikar sejadah sekalipun. Duduklah. Duduk sebentar.

Saya tahu anda selama ini mungkin tidak pernah duduk. Anda terlalu sibuk mengharungi detik-detik terindah selaku pelajar pergigian. Anda sibuk dengan kuliah, tutorial, discussion, assignment, homework, PBL, SDL, pesakit, klinik, requirements, denture, lab work, dan sila sambung sendiri. Anda lebih maklum.
Duduk sebentar yang saya maksudkan adalah muhasabah. Atau dalam bahasa teknologi dipanggil PAUSE BUTTON. Bercakap dengan diri anda sendiri.


“Siapa kata pergigian susah? Semua senior aku boleh lepas. Semua pun manusia biasa. Diorang lalui hari yang sama seperti yang aku lalui. Diorang dan aku tiada beza. Jika diorang boleh, aku pun tentu boleh.”

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan duduk sebentar. Yakinlah bahawa jika orang lain boleh mengapa anda tidak. Cukuplah anda dimomokkan dengan kegagalan oleh sesetengah pensyarah yang tujuan mereka supaya anda bangkit bangun.

Sudah duduk sekejap? Sekarang, sila bangun dan buka buku.


Esok
Tolong jangan fikirkan tentang kegagalan anda di hari esok. Saya tahu sesuatu yang pasti bahawa anda sering menggambarkan anda bakal gagal dalam subjek-subjek tertentu dan bakal duduk di kerusi supplement. Atau kerusi repeat.

Saya masih teringat bagaimana adik-adik suka bertanya,
“Kak, bagaimana kalau saya kena repeat? Supplement?”

Soalan yang tiada jawapan. Kerana soalan itu tidak patut ditanya. Dan saya tahu ada sesetengah anda yang memang sengaja bertanya. Kerana bertanya itu kunci kejayaan orang yang bijaksana. Pertanyaan itu akan menjadi suatu motivasi untuk anda merancang kejayaan anda di hari esok.

Sebaliknya, fikirkan tentang kejayaan anda di hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh memberi tumpuan yang baik pada hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik pada hari esok. Fikirkan bahawa esok pesakit anda pasti datang untuk rawatan. Fikirkan bahawa esok anda boleh invest denture pesakit anda.

Ya, zahirkan rasa syukur anda dengan berfikir tentang kejayaan. Anda adalah apa yang anda fikirkan. Fikir beserta tindakan. Fikir-fikirkanlah. Dan?
Selamat bertindak!


Nasihat
Anda tidak boleh hidup seorang diri. Saya telah melihat sendiri bagaimana orang yang sangat berdikari dengan tidak mempedulikan orang lain mudah sekali untuk menempa kegagalan. Sila dapatkan nasihat orang yang berpengalaman. Tanya. Bertanya. Dan tanyalah.

Jadikan senior-senior anda sebagai batu loncatan untuk anda mengecap kejayaan. Jika malu anda tidak perlu pergi jauh. Buddy anda bersedia memberi bantuan. Tanya. Korek pengalaman mereka. Selidik bagaimana pelajar cemerlang mengisi masa-masa terluang. Belajar cara-cara menulis nota. Dapatkan segala nota-nota penting. Minta tips menjawab soalan peperiksaan. Semua ini hanya terdapat di kalangan orang yang telah melaluinya.


Terapi
Sehebat mana pun ada, tetapi jika anda terlupa untuk meluangkan masa 5 kali sehari (atau lebih) untuk menunaikan solat, anda adalah seorang yang sangat rugi walaupun anda adalah seorang pelajar pergigian dari sebuah universiti yang disegani.

Bertambah-tambahlah rugi jika anda sebenarnya tidaklah sehebat mana pun. Dalam kelas sering mengantuk. Buat apa pun orang tak suka. Muka asyik masam. Suka menyakitkan hati orang. Suka ambil kesempatan terhadap orang lain. Suka meniru hasil kerja orang lain. Malas membaca. Malas mengulangkaji pelajaran. Malas bertanya pensyarah. Alangkah ruginya.

Saya menganjurkan anda untuk terapi jiwa anda. Basuhlah dengan ayat-ayat suci al-quran. Sepertimana anda berkunjung ke salun kecantikan untuk terapi muka, kaki, tangan serta badan, begitu jugalah yang anda perlukan untuk jiwa anda.

Bersihkan dengan perkara-perkara yang membina iman. Solat. Puasa sunat. Bacaan al-Quran. Menghadiri majlis ilmu.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda selaku seorang pelajar di universiti ini dengan mengabdikan seluruh kehidupan anda kepada pemilik kehidupan. DIA yang telah mengizinkan anda bertapak dalam bidang ini.


Arus
Tiada kejayaan yang boleh ditempa tanpa cabaran. Begitulah sebuah kehidupan bagaikan air laut ada masa surut dan ada masa pasang. Ada masa anda dihujani dengan pelbagai tekanan, ada masa pula sebaliknya. Itulah ombak yang sebenarnya membina kehidupan anda.

Jangan sedih jika anda tidak faham satu apa pun yang diajar oleh pensyarah. Jangan stress jika anda terasa seperti anda tidak tahu apa-apa pun. Jangan mengamuk jika gigi palsu yang anda buat dengan bersungguh-sungguh rupa-rupanya telah porous pada keesokan harinya.

Itulah arus yang akan memaksa anda untuk kembali ke pangkal jalan. Arus yang akan menolak anda untuk ke gigi air. Bangun daripada tidur. Tanyakan kenapa kepada diri. Kenapa tidak faham? Kenapa terasa seperti tidak tahu apa-apa pun? Kenapa gigi palsu ini porous?

Jawapannya ada pada diri anda.
Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan menolak arus yang mendatang dengan penuh berhemah.


Lekas
Pekerjaan yang paling menarik dan memuaskan adalah pekerjaan yang tidak bertangguh. Jangan bawa nota semalam untuk dikemaskini pada hari esok atau sehingga ke minggu seterusnya. Jangan mencari maklumat yang penting di hujung deadline.

Dapatkan koleksi soalan tahun lepas dengan segera. Bina kumpulan perbincangan dengan segera. Kemaskini nota kuliah dengan segera. Ulangkaji dengan segera. Bertanya dengan segera. Siapkan kes-kes penting dengan segera.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan segera. Berdoalah dengan segera.
Dan, berubahlah dengan segera. Semoga berjaya!

Sunday 5 February 2012

Seandainya Rasulullah SAW Bersama Doktor


Saya teringat ketika di sebuah majlis meraikan pelajar tahun akhir, seorang tokoh yang saya segani memberi nasihat sebagai bekalan sebelum kami menempuh dunia pekerjaan.

“Nanti apabila beri rawatan kepada pesakit, jangan ingat tak ada yang menilai. Semasa awak belajar di sini, kami yang menilai. Sudah bekerja pun masih ada yang menilai.” Sambil jari telunjuknya dihalakan ke atas.

Kawan saya menyahut, “Oh ye ke Doktor. Ada penilai juga? Bos eh Doktor?”

“Memang ada yang menilai. Bukan siapa-siapa. Tetapi Allah SWT.” Sambil tersenyum penuh makna.

Saya muhasabah kembali diri untuk beberapa bulan di medan pekerjaan adakah saya sedar dan nampak bahawa Allah menilai setiap satu kerja saya. Istighfar.

Sememangnya kita semua sedia maklum bahawa ada pencatat di kanan dan kiri bahu untuk setiap satu perkara yang kita lakukan. Dan Allah akan menilai segala pekerjaan yang kita lakukan. Tetapi nampaknya kita sering terlupa.

Sempena sambutan kelahiran Rasulullah SAW yang dilahirkan 1433 tahun yang lalu, saya ingin kongsikan 5 situasi seandainya Rasululllah ada bersama kita, khususnya kepada para pegawai pergigian.

Beruntungnya para sahabat kerana mereka menerima segala butir nasihat secara terus daripada Baginda. Apabila tergelincir, Rasulullah memberi teguran. Apabila melakukan kebaikan, Rasulullah memberi pujian. Cuba kita bayangkan beberapa situasi sekiranya Rasulullah ada bersama kita. Agak-agaknya apa yang Baginda akan katakan kepada kita? Baginda mungkin menegur apa dan yang mana? Baginda mungkin memuji apa dan yang mana?

Situasi 1

“Assalamualaikum Puan. Sila duduk, saya akan buat pemeriksaan.”

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”(Riwayat Al-Tabrani)

Cadangan:

  • Memberi salam kepada pesakit yang beragama Islam
  • Mengucapkan selamat sejahtera kepada yang bukan beragama Islam
  • Meraikan pesakit dengan mempersilakan mereka duduk.
  • Memanggil pesakit dengan pangkat yang bersesuaian dengan umurnya beserta nama sekali.

Situasi 2

“Doktor, bolehkah gigi ini ditampal? Saya rasa sudah lubang besar.”

“Memang besar. Kalau tampal pun mungkin sia-sia sahaja. Gigi tersebut perlu dicabut.”

“Sesungguhnya padamu ada dua sifat yang disukai Allah dan Rasul-Nya iaitu perasaan kasih dan pemaaf.” (Hadis riwayat Muslim dari Anas bin Masud)

Cadangan:

  • Ambillah sedikit masa anda memberi penjelasan dengan perkataan yang berunsur kasih dan sayang serta mendidik agar pesakit tidak berasa terlalu bersalah dan mungkin kecil hati.
  • Contohnya, “Lubang ini kalau Puan datang 5 bulan yang lalu, saya yakin InshaAllah masa itu memang dapat ditampal. Tetapi minta maaf, ia agak besar dan tiada rawatan lain melainkan cabutan. Tetapi terpulang kepada Puan apabila sudah bersedia untuk dicabut, kita akan cabut. Cuma, jika gigi tersebut dicabut lambat, mungkin akan sakit….seterusnya.”

Situasi 3

“Gigi Puan banyak sisa makanan. Pastikan Puan jaga ya kebersihan gigi.” kata Doktor.

“Yerlah Dr., very very the kotor!” sahut seseorang yang berdekatan dengan Doktor berkenaan.

“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.”(Hadis riwayat Bukhari)

Cadangan:

  • Pelihara lidah daripada menggunakan bahasa-bahasa yang negatif seperti kotor, busuk dan sebagainya.
  • Mana lebih baik, adakah ini, “Gigi Puan kotor,” atau “Gigi Puan tidak berapa bersih terutamanya di bahagian…” dan “Saya ada bau busuk masa buat pemeriksaan tadi,” atau “Biasanya sisa makanan yang berkumpul boleh menyebabkan mulut yang berbau.”
  • Nampakkah perbezaannya?

Situasi 4

“Kita kan Doktor, semua orang hormat kita.”

Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.”(Hadis Riwayat Muslim)

Cadangan:

  • Pekerjaan sebagai seorang Doktor mungkin dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi itu tidak bermakna kita berhak menuntut sedikit ataupun banyak penghormatan daripada sesiapa sahaja. Jangan terlalu taksub dengan pangkat sehinggakan kita bertindak sesuka hati kita terutamanya ketika berurusan dengan pekerja yang bekerja di bawah kita.

Situasi 5

“Ya Allah, permudahkanlah urusanku memberi rawatan kepada pesakit. Bantulah hambaMu ini untuk memberi rawatan yang benar yang dapat memberi kebaikan kepada pesakit.”

“Mahukah kamu semua aku beritahu( sifat-sifat) ahli syurga? Para sahabat menjawab . “Ya”, baginda bersabda,” Setiap orang lemah dilemahkan, andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengkabulkannya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cadangan:

  • Ambil masa di awal pagi untuk berdoa kepada Allah SWT memohon supaya setiap rawatan yang diberikan adalah rawatan yang benar dan bermanfaat untuk pesakit. Lebih cantik lagi kalau kita melazimi menggunakan kalimah-kalimah Allah ketika memberi rawatan, semudah kalimah bismillah dan Alhamdulillah. Jika kita biasa berdoa setiap kali sebelum makan, kenapa tidak kita berdoa setiap kali kita bertemu dengan pesakit?


Kesimpulan

Pekerjaan sebagai seorang Doktor menuntut kita untuk mempelajari menggunakan bahasa dengan baik dan penuh sopan. Ini adalah satu kemahiran yang tidak dapat tidak kita perlu pelajari. Kenapa?

Kerana pesakit kita adalah manusia biasa seperti kita. Mereka ada perasaan yang perlu dijaga. Jikalau kita perhati setiap pesanan Rasulullah di atas dan mengamalkannya, inshaAllah, pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi seperti ‘tikar sejadah’.

p/s : Jangan menilai saya melalui tulisan-tulisan saya. Saya bukanlah seorang yang baik dan benar sentiasa walaupun tulisan-tulisan saya mungkin adalah tulisan yang baik dan benar(Istighfar). Apabila saya menulis, saya bercerita tentang pengalaman saya sendiri. Dan situasi yang keji itu juga adalah situasi benar yang saya lakukan dan artikel ini ditulis untuk menegur diri sendiri, serta disiarkan untuk manfaat bersama.

Akhir kata, seandainya Rasulullah bersama kita, tentu Baginda merasa bangga melihat umatnya yang bekerja dalam bidang professional masih mengamalkan setiap nasihat yang Baginda berikan. InshaAllah. Sama-sama kita usahakan.

Twitter Facebook Favorites