Sunday 27 November 2011

Housemanship


Alhamdulillah. Sedar tak sedar sudah satu tahun saya bergelar seorang houseman. Housemanship adalah antara fasa yang paling mencabar bagi seorang yang ingin bergelar seorang doktor dan ingin memilih bidang perubatan sebagai cabang kerjaya pilihan. Setelah menghabiskan satu tahun, ini bermakna saya masih lagi mempunyai satu tahun untuk dihabiskan sebelum ditauliahkan dengan sijil pendaftaran penuh oleh Majlis Perubatan Malaysia yang membolehkan saya praktis di mana-mana sahaja di Malaysia.

Sedikit pengenalan mengenai konsep housemanship. Seorang houseman ialah doktor pelatih yang baru sahaja menamatkan pengajian di mana-mana sekolah perubatan dan berada dalam satu period pemerhatian dan penilaian sebelum dia boleh dilepaskan untuk berkhidmat dan bertanggungjawab penuh di atas segala keputusan yang dibuat terhadap pesakit. Housemanship adalah satu proses untuk kita menterjemah apa-apa yang dipelajari semasa sekolah perubatan ke dalam bentuk praktikal. Inilah masanya untuk kita aplikasikan apa yang dipelajari dengan realiti dunia sebenar. Kalau dahulu tempoh latihan housemanship hanya mengambil masa selama setahun, saya fikir sekarang akibat kebanjiran graduan-graduan oversea, maka kerajaan terpaksa memanjangkan tempohnya kepada dua tahun. Saya rasa ini merupakan langkah yang wajar. Bakal-bakal doktor yang datang dari pelbagai sistem yang asing ini perlu diintegrasikan dengan system yang Malaysia amalkan untuk mengelakkan kekacauan kelak. Selain itu, dari empat posting sahaja dalam masa satu tahun, sekarang kami berpeluang merasa enam posting dalam masa dua tahun. Enam posting ini adalah Jabatan Perubatan Am, Jabatan Pembedahan Am, Jabatan Orthopedik, Jabatan Paediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan juga Jabatan Kecemasan. Di sesetengah hospital sudah ada yang menawarkan pilihan untuk menjalani latihan di Jabatan Anestesiology buat para houseman. Walaupun mungkin ada yang akan argue bahawa kini kami terpaksa melalui waktu kesengsaraan yang lebih panjang, namun sebenarnya banyak perkara positif yang dapat diambil.


Hospitalku yang permai.

Hidup sebagai seorang houseman sebenarnya adalah penuh dengan cabaran-cabaran yang saya rasa bukan semua orang mampu hadapi. Semasa system on-call masih diamalkan tidak lama dahulu, adalah perkara yang biasa untuk seorang houseman tidak tidur selama 36 jam tanpa henti. Semasa hari on-call dahulu, biasanya saya akan punch-in ke hospital pada pukul 7 pagi seperti pekerja pejabat yang biasa. Pada pukul 5 petang, biasanya rakan-rakan yang tidak on-call sudah boleh pulang macam pekerja pejabat yang biasa juga namun para doctor yang on-call akan tinggal di hospital sehinggalah 7 pagi keesokannya, lalu disambung dengan waktu kerja seperti rakan-rakan lain yang baru sahaja punch-in sehinggalah pukul 5 petang hari tersebut. Kalau bernasib baik bolehlah tidur 2-3 jam sewaktu para pesakit semuanya ok, namun kalau kena hari yang kurang bernasib baik, meletakkan kepala di atas meja selama 10 minit pun sudah dikira bertuah sangat. Sudahlah begitu, secara purata seorang houseman diberi kuota cuti 8 hari dalam tempoh suatu posting yang sepanjang 4 bulan tersebut. Ada sesetengah boss department yang baik hati membenarkan cuti tambahan hujung minggu sebanyak 2 hari dalam sebulan. Ada pula boss yang tegas tidak langsung memberikan sebarang cuti lain kepada houseman. Houseman tersebut terpaksa bekerja selama 7 hari dalam seminggu dan memohon cutinya yang berbaki 8 hari tersebut kalau ingin berehat. Atas desakan banyak pihak, sistem on-call kini sudah dimansuhkan dan diganti dengan sistem shift. Namun implementasinya masih berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga menyebabkan masih banyak hospital yang mengamalkan sistem on-call. Secara jujurnya di hospital tempat saya bekerja di mana sistem shift sudah diamalkan, para houseman lebih gembira dengan kehidupan mereka sekarang walaupun masih terdapat pelbagai masalah dengan kualiti kerja yang dihasilkan. Mungkin saya akan ulas berkenaan perkara ini kemudian.

Selain tekanan masa kerja yang membebankan dan sangat meletihkan, seorang houseman juga berhadapan dengan tekanan daripada para superior mereka yang terdiri daripada para pegawai perubatan dan pakar perubatan. Kena marah di hadapan pesakit, rakan-rakan dan staf hospital yang lain adalah perkara yang menjadi rutin harian. Perkara ini sebenarnya mungkin well-justified kerana para houseman biasanya lebih cenderung untuk membuat kesalahan-kesalahan bodoh (akibat mamai dan kepenatan) seperti terlupa order ubat-ubatan yang penting untuk pesakit, terlupa hendak review pesakit dan sebagainya. Houseman yang mamai dan penat ini bekerja dengan para pegawai perubatan yang mamai dan penat juga, ditambah pula dengan para pakar yang penat dan stress sebab terpaksa membetulkan atau menanggung akibat daripada kesalahan yang dilakukan oleh para houseman yang mamai dan penat ini juga. Bak kata mat saleh, the vicious cycle continues. Secara kesimpulannya, bekerja sebagai seorang doctor adalah kerjaya yang penuh dengan stress factor dan seorang houseman perlu bijak menangani stress untuk survive.

Tidak ada gunanya jika hanya pandai teori semata-mata. Houseman yang baik juga perlu bijak berkomunikasi dengan pasukan tempat kerjanya. Kebajikan para pesakit akan lebih terpelihara jika semua pihak bekerjasama. Adakalanya houseman sahaja yang bertungkus lumus membuat kerja sedangkan staf-staf yang lain bergoyang kaki, sibuk bersembang sambil mengunyah-ngunyah kudapan di pantry hospital. Pernah juga terjadi akibat ketiadaan/kekurangan orang sepatutnya di dalam wad, para houseman pula yang terpaksa mengambil alih tugas mereka. Dalam masa yang sama, seorang houseman walaupun bergelar seorang doktor, tidak boleh bertindak mengarah staf-staf lain yang lebih rendah pangkatnya ibarat mereka itu amah Indonesia. Houseman yang bossy biasanya akan dipulaukan oleh para jururawat/staf sokongan yang lain dan ini seterusnya akan menyusahkan kerja seseorang houseman di masa hadapan. Malah ada juga yang dikenakan oleh mereka dan menanggung akibat dimarahi oleh superior kita. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan seorang houseman untuk berkomunikasi dengan baik, memupuk silaturrahim yang mesra sesama anggota hospital dan dalam masa yang sama memastikan setiap kerja yang diamanahkan kepada setiap orang berjalan supaya para pesakit tidak teraniaya. Apabila suasana bekerja yang mesra dan harmoni, biasanya seseorang houseman itu akan lebih bersemangat untuk datang bekerja dan memberikan servis yang terbaik kepada para pesakit. Saya pernah berada di dalam sebuah department yang kerjanya hanya mencari salah orang apabila sebarang masalah berlaku terhadap para pesakit. Kita pun berasa meluat hendak datang kerja. Saya juga pernah terdengar cerita seorang houseman wad NICU paediatrik di sebuah hospital lain yang dimarahi oleh boss sebab seorang ibu tidak menyusukan bayinya yang baru lahir atas alasan bayi tak mahu menyusu. Kelakar bukan?

Ular ini yang telah mematuk pesakit saya siang tadi. Adalah penting untuk mengetahui spesis ular tersebut kerana lain ular, lain kesan bisanya terhadap badan. Maka cara kita merawat pesakit juga berlainan.

Walaupun kerjaya sebagai seorang doctor adalah penuh dengan liku-liku cabaran dan onak duri, sebenarnya kerjaya ini dapat memberikan kepuasan kepada orang-orang yang dapat melihatnya dengan penuh hikmah dan mengambil sisi pandangan positif. Sebagai seorang pelajar perubatan dahulu, biasanya lingkungan sosial saya adalah di kalangan rakan-rakan yang sekepala, senasib dan boleh dikatakan berada dalam suatu tahap keterpelajaran dan pemahaman yang sama. Bila menjadi seorang doktor, barulah saya berpeluang untuk bergaul dengan semua lapisan masyarakat. Ya, tidak ada pekerjaan yang berhubung dengan lingkungan masyarakat yang seluas ini melainkan dalam bidang perubatan. Dari golongan pegawai tinggi kerajaan, pegawai professional, suri rumah, pelajar IPT, makcik pakcik petani di kampung, warga asing termasuklah pendatang tanpa izin, golongan pondan dan maknyah, penagih dadah, dan orang kurang upaya, seorang doktor perlu bijak mengubah bahasa dan lenggok badan yang digunakan untuk berkomunikasi dengan semua golongan ini. Bila kita bercampur dengan mereka semua, hati kita biasanya akan menjadi lebih lembut dan lebih memahami. Tidaklah semua benda kita akan kritik sahaja. Sebagai contoh seorang pakcik tua dari kampung yang selalu ponteng temu janji dengan klinik pakar. Selalunya pesakit-pesakit begini akan datang kemudian ke jabatan kecemasan bila keadaan mereka sudah semakin melarat dan tidak dapat diselamatkan. Selalunya kita akan cenderung untuk memarahi pesakit-pesakit begini kerana mereka cuma menyusahkan pihak hospital sahaja. Bila diselidiki barulah diketahui bahawa punca kenapa tidak datang temu janji adalah kerana tidak ada duit hendak menaiki teksi ke hospital. Hendak naik bas, tidak boleh jalan. Hendak tumpang kereta anak, sudah diabaikan oleh anak-anak. Bila kita lebih memahami kisah-kisah mereka, kadang-kadang terasa seperti hendak menitiskan air mata pula.

Walaubagaimanapun, saya berasa bimbang apabila melihat sesetengah rakan sejawatan saya yang tidak mempunyai expectation yang realistik berkenaan dengan kerjaya ini. Ya benar, mungkin title doktor itu kelihatan gah di kaca mata masyarakat. Dr. House juga kelihatan sungguh macho dikelilingi oleh para pelakon lain yang tampan dan cantik-cantik belaka. Hakikatnya yang sebenar bukan begitu. Saya kadang kala berasa sedih mendengarkan keluhan rakan-rakan sejawatan yang asyik mengeluh gaji tidak cukup. Sebagai seorang yang berpendapatan RM3500 sebulan, sebenarnya sudah lebih dari mencukupi untuk hidup dengan begitu selesa. Saya rasa ini merupakan salah satu punca kepada kebejatan perkhidmatan kesihatan kerajaan. Apabila semua doktor demand bayaran yang tinggi, kerajaan pun tak mampu bayar maka mereka berhijrah ke hospital swasta. Dalam masa yang sama, kebanyakan masyarakat awam pula bertegas hanya mahu bayar RM 1.00 bila berjumpa dengan doktor di klinik kerajaan. Doktor semakin kurang di hospital kerajaan, pesakit pula semakin ramai. Doktor yang tinggal berhadapan dengan tekanan kerana terpaksa melayan begitu ramai pesakit yang kadang kala menunggu hingga 5 jam untuk berjumpa dengan doktor di klinik. Dalam masa yang sama tidak adil pula untuk menyalahkan doktor yang meminta bayaran lebih apabila kita memikirkan situasi kerjanya yang begitu mencabar. Masalah ini semuanya kait-mengait dan tidak wajar jika kita hanya mahu menyalahkan satu pihak sahaja.

Banyak yang saya pelajari sepanjang satu tahun bergelar houseman. Saya belajar bagaimana untuk bertenang berhadapan dengan situasi kritikal, menguruskan tekanan, menghormati dan memahami pesakit, berkomunikasi dengan boss dan juga orang yang lebih rendah pangkatnya dari kita dan yang paling penting saya banyak belajar tentang makna kehidupan dan kebergantungan dengan Tuhan.

Buat para pelajar perubatan, jadilah seorang doktor yang ingin menjadi seorang doktor, bukannya kerana hendak mencari sumber mata pencarian. Kerjaya ini sepatutnya begitu innate dalam diri kita seperti kita menjadi anak kepada ibu bapa kita dan seperti kita menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab. Kehidupan sebagai seorang doktor adalah sangat menarik sebenarnya. Insya Allah saya akan berkongsi lebih banyak kisah-kisah menarik dan buah fikiran saya di masa hadapan.

17 maklum balas:

like !
sentiasa positif...
Allah menguji hambaNya pada tahap yng sesuai dengannya...
kalau kita bnyk mengeluh so,,, ap mkita dpt...
buktikan2

kita doktor muda amat kompeten..insyaAllah ! namun still perlukan senior2.. jugakk hehe

:D

starting gaji lps grad brape??
i'm not a doctor..
just curios..

salam DR, dulu dr. graduate university mane ?

saya rasa semangat balik lepas baca blog ni..thanks! :)

what the wonderful story...it's help me a lot to gain some experience and imagine real situation however I am still form 4 students..I want to be a success doctor to help many people survive in normal...I love this job and really comfort with it..kita akan dirahmati Allah apabila kita keluar setiap hari untuk membantu orang...it's really motivated me.. :)

Terima kasih Dr..
Saya suka baca blog ni.Ada pengisian ilmiah..
Tapi, boleh tak besarkan tulisan tu..Tak puas nak baca..huhu..:)

Tahniah kerana anda seorang doktor yang positif... semoga Dr. menjadi seorang doktor yang benar2 doktor kelak... saya sebenarnya risau dan sedih melihat para pelajar saya, generasi sekarang, apabila melihat keadaan mereka, jatidiri, semangat dan kemanjaan mereka, tertanya adakah mereka mampu berhadapan dengan cabaran hebat di luar sana, terutama apabila menjejak kaki ke dunia pekerjaan sebagai seorang profesional yang penuh tekanan seperti doktor sebagai contoh...

-Cikgu Sains-

Syukur Alhamdulillah rupanya ada Doktor yang berjiwa rakyat yang bertugas kerana Allah...saya begitu tertarik membaca blok Dr. kerana saya ingin memberi semangat kepada anak saya juga bergelar "Housemanship". Supaya pengalaman yang Dr. lalui boleh dijadikan pedoman dan pengajaran kepada beliau kelak...Terima kasih Dr. saya doakan semoga Allah rahmatkan kepada Dr. dunia dan akhirat....Aminnn

This comment has been removed by the author.

We are Owner and Operator a General Practice (GP) Clinic in Bandar Sungai Long, Bangi and Putrajaya (Presint Diplomatik - Klinik Pakar KASIH).

We are looking for a dedicated Medical Officer Requirements at Bandar Sungai Long Clinic:-
Lady doctor
MBBS or equivalent from a recognized institution approved by Ministry of Health Malaysia
Possess valid Annual Practicing Certificate
Registered with Malaysia Medical Council
Minimum 2 years working experience in Obstetric & Gynecology
Attended an Obstetric Life Saving Skill
Attended A Neonatal Resuscitation Program
Working hours negotiable with minimum on-call
Very attractive salary RM7,000 (starting)
Kindly please send to recommend CV to: aznial@gmail.com

Clinic information:-

PUSAT RAWATAN SUNGAI LONG
NO. 12 JALAN SL 1/13
BANDAR SUNGAI LONG
43000 KAJANG
SELANGOR
TEL / FAX: 03-90114833


Regards
Ir. Aznial Rahmat
Director
KASIH Group
012 312 9264
aznial@gmail.com

Semoga doktor semakin tabah dan cekal berbakti pada bangsa dan negara.

May Allah bless u all . Much love .

Satu perkongsian yang bagus dan bermaklumat. Anak perempuan saya ditawarkan jurusan Perubatan selepas prog asasi tetapi anak saya memilih bidang perguruan supaya dia lebih banyak masa bersama keluarga setelah berkahwin nanti. Walau apapun, Saya tetap menghormati kerjaya doktor yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Syabas dan tahniah doktor!

1800 or something ? pernah terbaca dekat website mana tah. and for hospital swasta starting 5500

1800 or something ? pernah terbaca dekat website mana tah. and for hospital swasta starting 5500

Saya tertarik dengan karya tuan,dan seolah terjentik hati saya untuk berkongsi pengalaman menerokai liku liku ,kepayahan untuk sampai ke destinasi saya yang terkini walaupun tidak setara manapun ,bagi mata lain,namun saya berfirasat yang tuan berhati mulia sesuai dengan khidmat yang tuan berikan sekarang melalaui profession sebagai pengamal perubatan.
Ketenangan pada titik optimal yang sedang saya kecapi kini yang ingin saya utarakan pada tuan memikirkan layaknya tuan dengan kurniaan Allah yang sebegitu..walaupun pada hakikatnya ramai yang tersasar ,bertungkus lumus,mencari sesuatu yang tidak dikenal pasti,
Juga sebagai seorang pengamal Allopathiy ,yang mungkin akan berkhidmat tak sampai 3 tahun,,saya yakin,dengan motif yang betul tuan akan sampai ke destinasi ,lebih awal dari sepatutnya,,hasil dari perkongsian kita,inshaaAllah

Post a Comment

Twitter Facebook Favorites