Saturday 7 January 2012

Doktor@Locum


Salam,
LOCUM

Satu kelebihan yang diperolehi setelah menjadi pegawai perubatan, adalah membuat locum secara sah di sisi undang-undang. Selain menambahkan pendapatan (penting bagai doktor-doktor yang bakal berkahwin), ianya juga menambahkan ilmu pengetahuan kita. Seperti kata seorang doktor senior, “Kita sebenarnya banyak belajar bila buat locum.”

Kalau orang politik menggunakan slogan ‘dekatilah rakyat’, maka ‘dekatilah pesakit’ dengan membuat locum. Ada perkara yang kita tidak akan belajar dan rasai dengan hanya bekerja di wad dan hospital.

?URTI-IST

Doktor GP klinik swasta  sepenuh masa selalu diperlekehkan oleh doktor hospital sebagai pakar URTI(upper respiratory tract infection) dan malah kawan saya berseloroh doktor buat locum klinik sebagai URTI-ist. Namun ketika locum, berwaspadalah kerana kadang-kadang boleh menerima pesakit berpenyakit seperti ectopic pregnancy, Dengue hemorrhagic fever dan sebagainya.

Ada juga penyakit kebiasaan tetapi tidak dilihat di wad seperti atopic eczema, allergic dermatitis, scabies, tinea corporis dan banyak lagi penyakit kulit yang lain. Kita perlu membezakan dan merawat dengan efektif. Saya bersyukur pengalaman bekerja di Jabatan Dermatologi banyak membantu.

MENCARI DOKTOR

Sewaktu locum jugalah kita belajar untuk mendengar luahan hati pesakit. Datang dengan mengadu sakit kepala, akhirnya pesakit meluahkan perasaan yang terbuku di hati dengan tangisan. Semua akibat tekanan hidup zaman sekarang. Tekanan seorang pengurus wanita terhadap persaingan di tempat kerja, tekanan seorang isteri yang tidak dapat melahirkan anak.

Ada seorang guru perempuan 50an yang merasakan terhina. Setelah perompak mencuri komputer riba milik sekolah di rumah, beliau diasak-asak oleh pihak sekolah untuk membayar ganti harta sekolah malah berulang kali menerima surat amaran tindakan tatatertib daripada kementerian. Beliau kata sudah berdekad berdedikasi bekerja sebagai seorang guru, beliau tidak pernah mengambil cuti sakit, sudah 3 kali menerima anugerah guru cemerlang. Tetapi merasakan sumbangan seumur hidup beliau begitu tidak dihargai sehinggakan dilayan seperti seorang pencuri. “Duit itu saya boleh cari, tapi ini bukan soal duit doktor.”

“Maaflah doktor saya cerita semua ni.”

Apabila dibawa isu ini kepada rakan kaunselor, mereka mengajar sedikit sebanyak cara membimbing pesakit sedemikian.

KANDUNGAN

Di hospital kita merawat pesakit mengandung dan membantu melahirkan anak. Di klinik locum, kita mengkhabarkan berita gembira bahawa mereka atau isteri mereka mengandung. Ada yang terlompat-lompat gembira, ada yang rasa lega dek tekanan daripada keluarga.

Ada yang selepas tahu mereka mengandung bertanya, “Ada apa-apa tak yang doktor boleh buat?” Tergamam diri apabila diminta menggugurkan kandungan. Lidah kelu tidak tahu apa yang ingin dijawap.

Seorang rakan doktor  kata, “Jawablah begini: Janganlah gugurkan kandungan ni kak, kerana mana tahu, antara anak-anak akak, anak inilah yang sanggup menjaga akak bila dah tua nanti.”

AMBIL KISAH

Ada kalanya kita tidak tahu apa penyakitnya dan ini pastinya merisaukan seorang doktor. Iaitu memberitahu pesakit bahawa kita tidak tahu apa penyakitnya. Terlalu ego sehingga kita rawat secara simptomatik, tanpa memberitahu apa penyakitnya. Mungkin lebih baik jika kita rujuk pada doktor lain atau ke hospital.

Ada ketikanya kita terjumpa penyakit yang jarang dijumpai di klinik locum seperti lupus erythematosus, scalp psoriasis, acute generalized exanthematous pustulosis dan sebagainya. Selepas dirujuk ke hospital, ambillah kisah tentang pesakit dengan menelefon mereka kemudian hari, untuk mengambil tahu tentang keadaan mereka terkini. Ini juga dapat mengukuhkan pengalaman memberi diagnosis sesuatu penyakit.

MENCARI DOKTOR 2

Saya kerap bersembang bersama staf klinik. Selain membina hubungan yang baik bersama staf, ianya juga peluang untuk kita pelajari tentang selok-belok membuka klinik, terutamanya apabila bertanya dengan staf senior.

Antara faktor yang menyebabkan pesakit kembali ke klinik yang sama adalah hubungan yang baik bersama doktor. Doktor haruslah sudi mendengar masalah pesakit dan melayan mereka dengan baik. Sehinggakan ada pesakit yang datang ke klinik bertanya hari apa Dr. ZZZ bekerja, dan datang pada kemudian hari.

Bila saya tanya ada tidak pesakit yang datang cari saya, rupanya ada juga. Rasa lebih bersemangat untuk bekerja. Patutlah ada pesakit yang tanya nama saya. Ingatkan nak saman.

 DOA

Selesai solat di bilik rehat doktor di klinik locum, terlintas hati untuk mendoakan sembuh penyakit pesakit-pesakit. Harap kita semua amalkan sedemikian.

5 maklum balas:

locum tu suatu pekerjaan sampingan (part time)selepas waktu bertugas di hospital kerajaan yg diguna pakai oleh bidang perubatan...hehehe

Syabas Doc.

Jika nawaitu jadi locum untuk mendapat lebih pengalaman dan ilmu instead of xtra income, InsyaAllah, ganjarannya berlipat kali ganda.
Aminnn...

salam doc. doc area mane ek. doc bleh buat locum ke. emel sy di gerekz@gmail.com

Akromin 'locum' x jumpa lg. Adakah local income?

Post a Comment

Twitter Facebook Favorites