Tuesday 27 March 2012

Kembara Doktor Muda Ep 2 : Di Daerah, Lain Bah


Assalamu’alaikum,

SAYA DARI METROPOLITAN

Sekali-sekala, doktor muda akan menghantar pesakit ke hospital besar untuk dirujuk. Maka terpaksa juga menghadap big boss(doktor pakar) di sana, yang sebelum ni hanya ‘layan’ di telefon saja. Kalau semasa latihan perubatan siswazah dulu, soalan di mana kamu belajar ditanya, sekarang pula big boss akan tanya boss kecil dari mana kamu tamat latihan.

“I have never seen you before!! Who are you, where are you from??!!” terjah doktor pakar. “I’m Doktor Muda. I’m from Hospital Metropolitan,” jawap saya. “Oohh........,” rendah suara doktor pakar.

Pelik saya rasa, doktor pakar tidak bertanya soalan bertali arus selepas itu. Rupanya ‘gah’ nama Hospital Metropolitan di sini.

Namun sebenarnya, doktor muda rasa tiada bezanya latihan di sini dan di sana. Malah mungkin pegawai perubatan siswazah dan juga pelajar perubatan di sini lebih terdedah. Penyakit-penyakit yang saya tidak pun terdedah sebelum ni.
Tidak kisah dari mana kita datang.
Kita akan lalui jalan yang sama jua akhirnya.
KENAPA LAMBAT BAH

Atas faktor sosial, pendidikan rendah, jarak tempat tinggal, ramai pesakit yang tiba di hospital daerah dalam keadaan yang teruk. Sepatutnya jika mereka datang awal, keadaan tidak akan jadi begitu.

Doktor muda pertama kali melihat pesakit yang mengalami ileus dan urinary retention disebabkan hyponatremia. Kerap melihat pesakit hypokalemia dengan adanya ECG changes. Penyakit setahap sedemikian disebabkan hanya oleh kekurangan garam, berlaku disebabkan kelambatan pesakit mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak metropolitan yang mengalami bronchopneumonia tidak pernah doktor muda dengar crepitations pada paru-parunya. Ini kerana kebanyakan mereka semua adalah partially treated, mudah mendapat rawatan antibiotik sewaktu awal penyakit. Berlainan di sini.

Pengalaman merawat pesakit bleeding placenta previa major yang dibawa menaiki bot dari sebuah pulau berdekatan tidak dapat dilupakan. Setelah distabilkan di hospital daerah, kami perlu hantar ke hospital besar pula untuk rawatan selanjutnya. Perjalanan di dalam ambulan membuat doktor muda gemuruh dan risau kalau-kalau pesakit collapse dalam perjalanan.

Namun alhamdulillah pesakit berjaya diselamatkan.

THALAS, CHOLE DAN MALAR

Ingat lagi di Hospital Metropolitan dulu, apabila terdapat sebuah kes malaria di wad, doktor pakar perunding nasihat semua pegawai perubatan siswazah untuk pergi dan lihat kes tersebut kerana jarang berlaku kes demikian di bandar metropolitan. Di daerah tempat kerja doktor muda sini, demam malaria adalah kes endemik. Jadi semua pesakit demam akan diperiksa BSMP/BFMP untuk ditapis.

Jadi di sinilah doktor muda banyak belajar dengan melihat sendiri kes malaria teruk dengan komplikasi cerebral malaria, renal failure, anaemia, jaundice dan sebagainya. Dengan itu kita belajar tentang rawatannya menggunakan artesunate, artequin(gabungan artesunate dan mefloquin), riamate dan sebagainya.

Dan baru-baru ini pula, berlaku wabak cholera di daerah. Kalau sebelum ni di wad pediatrik Hospital Metropolitan hanya berbuih bertanyakan tanda-tanda cholera tetapi tidak pernah jumpa pun kesnya, tapi di sini dapat doktor muda lihat sendiri keadaan kanak-kanak dan dewasa yang mengalami jangkitan cholera. Dalam kes cholera, pesakit akan mengalami electrolyte imbalance yang teruk berbanding penyakit acute gastroenteritis lain. Mereka datang dengan Sodium 120-125 dan Potassium 2-2.5, dengan keadaan tidak bermaya.

Sepanjang di Hospital Metropolitan, seingat doktor muda, hanya pernah jumpa satu pesakit Thalassemia masuk ke wad untuk transfusi darah. Di hospital daerah sini, doktor muda jumpai ramai pesakit kanak-kanak yang mengalami Thalassemia. Di daerah, berlaku banyak perkahwinan di kalangan saudara mara atau sekampung atau sebangsa, maka kebarangkalian untuk menghidap penyakit Thalassemia adalah lebih tinggi.

Doktor muda belajar tentang proses penapisan kes Thalassemia, lawatan lanjut mereka, ubat-ubatan dan sebagainya.

Si ibu berkata,”Aku ni endak pandai, baca huruf, nombor pun tidak reti. Anak aku pergi sekolah. Dialah yang tolong tunjuk nombor giliran ini,” setelah ditanya kenapa lambat masuk bilik setelah nombor dipanggil. “Nanti kamu besar, pastikan anak kamu lagi pandai daripada kamu,” kata doktor muda pada anak ibu tersebut. Dia tersenyum.
Bangunlah anak bangsa. Jadilah generasi gemilang
yang cintakan negara, bukan khianati.
Kemudian doktor muda perasan yang anak tersebut sebenarnya menghidap Beta-Thalassemia major.  Rasa tidak sedap hati. Adakah doktor muda telah berikan harapan palsu pada anak tersebut? Apakah prognosis beliau?

CHA CING

Ramai kanak-kanak dibawa ibubapa mereka untuk mendapat rawatan demam, batuk dan selsema. Ada sesetengahnya doktor muda perasan, datang dengan kurus kering dan pucat.

Apabila disemak full blood count(FBC), ramai yang Hemoglobin-nya(Hb) rendah 7-8 g/dL. Mean cell volume(MCV) dan mean cell hemoglobin(MCH) juga rendah. Apabila diselidik lagi iron workout dan peripheral blood film menunjuk ke arah iron deficiency anaemia. Status kehidupan yang rendah tampak memberi kesan pada nutrisi anak-anak di daerah.
Jika diselidik lagi, eosinophil count juga tinggi, menyebabkan kita suspek infestasi cacing atau helminthiasis. Bila ditanya ibunya, ada yang kata anaknya ada muntah dan buang air besar keluar cacing. Ada yang sudah besar pun datang berkaki ayam, tidak berkasut. Ada penolong pegawai perubatan(MA) simpati dan hulur RM10 pada budak itu untuk dibeli kasut.

Salah satu differential diagnosis untuk sakit perut di kalangan kanak-kanak di daerah adalah acute pancreatitis. Ianya disebabkan mechanical obstruction oleh cacing. Doktor muda ada lihat satu kes budak umur 7 tahun dengan serum amylase >> 2000.

Dunia kanak-kanak dan doktor di daerah lain daripada kanak-kanak dan doktor di kota metropolitan.

SYUKUR

Pesakit-pesakit di daerah secara umumnya lebih menghargai doktor. Kadang-kadang doktor muda tidak sempat pun habis cakap, pesakit sudah ucap berbanyak-banyak terima kasih.

Ada sekali doktor muda ‘basuh’ betul-betul seorang pakcik yang degil tidak menjaga penyakit kencing manisnya. Pakcik tu senyap dengar saja. Kemudian baru rakan sekerja beritahu pakcik tersebut antara orang-orang kaya di daerah. Tercengang doktor muda bila dengar. Nasib baik pakcik tu tidak buat aduan.

Ternampak saya seorang kanak-kanak kecil yang mempunyai enam jari(polydactily). Doktor muda, yang dulunya pernah bekerja selama sebulan di bawah orthopaedic paeds, pun bertanya, “Mamak ada buat temujanji dengan doktor tulang? Ada rancang nak buangnya?” “Eh buat apa? Bersyukurlah Allah bagi dia macam tu,” dengan penuh yakin kata ibunya.

Tersengih malu saya. Mungkin ada perkara di dunia ini yang tidak perlu dirawat sebenarnya. Yang perlu dirawat adalah hati.

Pokok tidak mengadu nasib dibesarkan di dalam longkang.
Sebaliknya berusaha tumbuh mencari mentari. Bersyukurlah.

Seorang makcik meracau di wad. Buah pinggangnya semakin rosak. Blood urea pesakit mencecah 60. Makcik mengalami uraemic encephalopathy. Namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau bukan warganegara. Suaminya tidak mampu untuk menanggung kos rawatan jika dirujuk ke hospital besar.

Di daerah dan di negeri ini, terdapat ramai pendatang asing. Kerajaan tidak mampu untuk menampung mereka, maka untuk mendapatkan rawatan, mereka perlu membayar lebih berbanding warga tempatan.

“Takpelah........ kalau memang sudah ajalnya, kita tidak boleh buat apa-apa juga,” kata suaminya. Sebak hati doktor muda mendengar kata-kata pakcik menerima takdir. Sedangkan doktor muda tahu ada ikhtiar untuk menyelamatkan isterinya. Namun yang menghalangnya adalah duit.

CERITA ASAL

Mungkinkah begini cerita asalnya. Suatu ketika dahulu, di sebuah daerah, manusia melihat kehidupan itu bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Hidup dengan bersyukur apa yang ada dan ketahui kematian adalah kepastian. Tabib dan bidan membantu setakat yang mereka mampu dan menyerahkan selebihnya pada takdir. Manusia meninggal dunia dengan penerimaan.

Sebuah perkampungan..... suatu ketika dulu.

Kemudian daerah itu membangun maju dan penduduknya hidup senang. Kehidupan bermula dengan kelahiran yang sempurna, hidup yang mewah dan kematian ditangguh-tangguhkan. Adalah tugas doktor untuk merawat penyakit, menghindar kematian dan memulihkan kesempurnaan. Jika doktor tersilap dan gagal, jangan salahkan takdir. Manusia meninggal dunia dengan tidak berpuas hati.

Pada suatu ketika dulu.......

10 maklum balas:

entri yg menarik..thanks for sharing..:-)

doc...share la kat sini juga...

p/s:
8 SEBAB kenapa kita kena join RakanBlog....SEBAB KE 4- Rakanblog.com membuatkan para bloggers rileks.

Entry yg sgt menarik. rase mcm nk kne posted kat sana je. hehehe ;p

challenging eh? everyday brings out a new chapter

Saya anak jati Sabah. Bila baca entry ne, saya rasa bersemangat untuk teruskan belajar demi menggapai cita-cita sebagai DR. I am now a medical student in Egypt. Doakan semoga 1 hari nanti saya dapat pulang ke Tanahair untuk menabur bakti di Negeri di Bawah Bayu, Sabah.

n3 yg menarik,keep on ur good work.may allah bless u.

mai lah ramai2 pindah kerja ke Sabah. Menarik.

Jeff: Bagus jeff, aku selalu tertanya kenapa tidak ramai org muda Sabah menjadi doktor dan membantu negeri sendiri. Kalau berusaha pasti saja boleh!

Entry yang bagus.. cume saya suka nasihatkan doktor dari metropolitan yang datang ke district tidak memandang sepi peranan orang bawahan.. di tempat saya.. agak kecewa dengan rakan sekerja yang di boikot oleh orang bawahan disebabkan EGO dan tidak mendengar cakap orang.. pesakit dah ill disebabkan wrong management.. baru nak gelabah..so .. jangan lupa respect orang sekeliling....

saya sabahan yg sedang menuntut d fakulti perubatan d mesir,suka baca blog dr azad, insyaAllah akan berbakti di bumi bawah bayu. (^_^)

Meaningful life
Terima Kasih Dr Azzad kerana membuka minda saya..

Post a Comment

Twitter Facebook Favorites