Monday 5 December 2011

Kebahagiaan Doktor Di Tangan Anda


Semua jadi teruja. Ada kaki yang menari mengetuk lantai. Ada tangan kiri dan kanan saling berpaut. Ada yang mulut terkumat-kamit membaca sesuatu. Ada yang tersenyum seorang diri. Ada juga yang termenung.
Saya pula memang tidak senang duduk sejak tadi. Kaki dan tangan tidak seirama. Berdebar-debar menanti nama dipanggil.

“Doktor Yuliana.”

Terus saya bangun dari kerusi dan bergerak beberapa langkah ke hadapan. Sampul surat berwarna putih itu saya ambil dengan kedua belah tangan dan digenggam erat di sisi kanan tubuh. Sesampai di tempat duduk, semua sudah riuh. Saya terpinga-pinga.

“Yu, sampul surat putih ini kualiti murah. Boleh tembus dalam.”

“Ha?” Saya menyahut dengan kening terangkat.

Seawal tadi pihak urusetia program induksi ini telah memberi amaran supaya membuka surat tawaran penempatan bekerja setelah selesai semua nama dipanggil. Tetapi nampaknya kemampuan berfikir di luar kotak oleh sesetengah pegawai pergigian yang baru dilantik ini sedikit sebanyak mencacat keterujaan.
Saya memandang sampul putih itu. Tersenyum melihat nama di depan beserta alamat rumah. Nafas ditarik dalam sambil mata tertutup kemas, mulut saya berbisik,

“Akhirnya.”

Lantas sampul surat putih itu diangkat tinggi melepasi kepala. Cuba dihalakan ke arah lampu terang di siling dewan ini.

“Aish, tak nampak pun!”

Sampul itu diletak kembali ke atas meja. Suara-suara keterujaan rakan-rakan semakin menjadi-jadi. Saya sedikit tidak tentu arah. Hendak buka tidak diberi kebenaran. Arahan itu dihormati. Perlahan-lahan saya menekan sampul putih itu dan tertembuslah tulisan yang lebih 2 bulan saya nantikan.
***

Keesokan paginya. sekali lagi saya menerima sampul putih. Kali ini keterujaannya sedikit berbeza. Kali ini tiada pula amaran untuk tidak membukanya. Namun, saya berasa cukup berat hati untuk melihat isi kandungan di dalam. Dengan kalimah doa, akhirnya terteralah ayat-ayat yang tidak dinanti-nantikan.

TUAN/PUAN,
DENGAN DUKACITANYA DIMAKLUMKAN RAYUAN ANDA TIDAK DITERIMA.

Penyataan ini cukup menerangkan segala isi kandungan surat tersebut. Saya tidak mampu menatap keseluruhan isi surat. Titik demi titik air membasahi pipi dan bertambah deras dengan perasaan yang berkecamuk. Mata menjadi kabur dan segala hiruk pikuk dalam dewan diabaikan. Kawan-kawan mendekati dan memberi pelukan semangat, beserta kata-kata pemangkin untuk jiwa yang lemah. 

Hanya satu perkara yang menekan saya daripada untuk terus berfikiran positif dan menerima ketentuan Allah dengan redha.

Keluarga.
***

Pagi berganti petang, petang berganti malam, malam berganti pagi membawa kepada putaran masa yang tidak pernah berhenti meninggalkan kita. Ia diibaratkan sebagai nyawa kerana terlalu berharganya masa itu kepada kehidupan seseorang bernama manusia.

Sudah hampir setengah tahun saya di sini. Sudah 5 bulan, sudah 20 minggu, sudah 140 hari, sudah 3360 jam, sudah 201 600 minit dan sudah 12 096 000 saat.

Kinek tok, kamek udah pande kelakar Melayu Saghawak! (Sekarang ini, saya sudah pandai berbahasa Melayu Sarawak!)

Makna kata, benih yang baik jika ditaburkan di tanah yang bukan kebiasaannya pun dengan keizinan Allah pasti boleh tumbuh dengan baik. Semuanya terletak atas diri kita. Bak kata pepatah melayu, masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang harimau, mengaum. Itulah adaptasi yang kita perlu lalui. Jika tidak sekarang, mungkin suatu masa nanti.

Jika dahulu air mata menjadi pengiring kepada sebuah perjuangan di perantauan, kini tiada setitis pun yang jatuh di kepulauan borneo ini. Tidak setitis pun sejak kali pertama kaki saya menjejakkan di sini pada Julai 2011.


Menyorot perjalanan kehidupan kita, semuanya mempunyai kisah yang berbeza. Kisah-kisah ini wajar diteladani untuk manfaat bersama. Memang pada awalnya negeri ini tiada langsung dalam senarai penempatan bekerja yang saya idam-idamkan. Memang ia jauh. Sejauh beribu kilometer dari kampung halaman.

Tahukah anda bahawa Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia juga pulau ketiga terbesar di dunia yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 2 juta di atas tanah seluas 124,449.51 kilometer persegi? Tahukah anda bahawa Sarawak mempunyai lebih daripada 26 kumpulan etnik termasuklah Iban, Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun, Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum dan Longkiput?
Saya tidak dicampakkan di sebuah pulau yang terasing. Sebaliknya saya ditempatkan di sebuah pulau pelbagai etnik yang tidak terdapat di mana-mana negeri di semenanjung!

Allah ada mengingatkan orang yang bersyukur kepada Allah akan diberi nikmat yang berganda-ganda. Orang yang rugi adalah orang yang tidak tahu bersyukur dan menganggap setiap sesuatu yang berlaku adalah musibah yang menjejaskan keharmonian kehidupan mereka. Sebagai hambaNya yang serba daif siapalah kita untuk mengandaikan bahawa kita tahu nasib kita di masa hadapan. Dia tentu lebih tahu.

"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu.” (Ibrahim:7)
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Albaqarah:216)
Justeru, selaku pekerja di bidang profesional, kita perlu sedia maklum bahawa ilmu yang kita timba selama bertahun-tahun perlu sedia dipraktikkan dan berkhidmat dengan mana-mana hospital atau klinik di seantero Malaysia. Anda perlu bersedia untuk dihantar kemana-mana sahaja di kawasan-kawasan yang kekurangan pegawai perubatan dan pergigian terutamanya Sabah dan Sarawak dengan masing-masing memiliki nisbah 1:2248 dan 1:1709 untuk pegawai perubatan(1). Bagi pegawai pergigian bilangannya agak kritikal iaitu Sarawak kekurangan 50% tenaga profesional(2) ini manakala Sabah memiliki nisbah yang besar iaitu 1:20,000 berbanding 1:7000 seperti yang disasarkan(3).
Saya sendiri melihat betapa ramai sahabat-sahabat saya di bidang perubatan mahupun pergigian tidak dapat berkhidmat di tempat yang mereka inginkan. Ada yang membuat rayuan sehingga sanggup tidak berkhidmat lebih 2 bulan kerana menanti keputusan rayuan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini baru cubaan pertama untuk kita yang baru mula bekerja, belum lagi yang lain-lain. Cubaan penempatan yang sebenarnya patut lebih mudah kita hadapi bagi seorang pelajar di bidang perubatan dan pergigian jika hendak dibandingkan dengan pelbagai cabaran yang telah kita harungi semasa belajar dahulu.

Andalah yang memilih untuk menjadi bahagia. Anda ialah bakal doktor ataupun sudah bergelar doktor. Kebahagiaan doktor di tangan anda.

Bahagia hanya untuk anda yang redha.

Doktor Yuliana kini berkhidmat sebagai doktor gigi di Hospital Umum Sarawak.

Rujukan:
  1. http://www.mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/4/23/mstar_berita/20100423143752
  2. http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=496663
  3. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

10 maklum balas:

Excellent! Enjoy reading your entry. Keep it going ya...

Thank you Dr,
I hope to write something that can benefir others. InshaAllah.

Menarik... and yea, good luck di sana!

Terima kasih ;)
Alhamdulillah semakin hari semakin bagus di sini.

^_^ kak yu masih ada akhwat di sini.., slmt menempuh hr2 yg mdtg sbgi sorng dr yg baik n dedikasi~ Ukhti Adila

Itulah rahsia untuk terus bahagia. Terima kasih Adila.

I just undergo the scoliosis surgery there! HUS is the best! May Allah bless the doctors there! Amin.

Nur : Amen...
Imran : Yes, Sarawak.

kawan2 saya pun ramai yg reluctant nak ke sabah serawak, tp bila dah pg xnak balik pulak..seronok katanya..best of luck doktor

Post a Comment

Twitter Facebook Favorites