Assalamu’alaikum,
SAYA DARI METROPOLITAN
Sekali-sekala, doktor muda akan
menghantar pesakit ke hospital besar untuk dirujuk. Maka terpaksa juga
menghadap big boss(doktor pakar) di sana, yang sebelum ni hanya ‘layan’ di
telefon saja. Kalau semasa latihan perubatan siswazah dulu, soalan di mana kamu
belajar ditanya, sekarang pula big boss akan tanya boss kecil dari mana kamu
tamat latihan.
“I have never seen you before!! Who
are you, where are you from??!!” terjah doktor pakar. “I’m Doktor Muda. I’m
from Hospital Metropolitan,” jawap saya. “Oohh........,” rendah suara doktor
pakar.
Pelik saya rasa, doktor pakar tidak
bertanya soalan bertali arus selepas itu. Rupanya ‘gah’ nama Hospital
Metropolitan di sini.
Namun sebenarnya, doktor muda rasa
tiada bezanya latihan di sini dan di sana. Malah mungkin pegawai perubatan
siswazah dan juga pelajar perubatan di sini lebih terdedah. Penyakit-penyakit
yang saya tidak pun terdedah sebelum ni.
KENAPA LAMBAT BAH
Tidak kisah dari mana kita datang. Kita akan lalui jalan yang sama jua akhirnya. |
Atas faktor sosial, pendidikan
rendah, jarak tempat tinggal, ramai pesakit yang tiba di hospital daerah dalam
keadaan yang teruk. Sepatutnya jika mereka datang awal, keadaan tidak akan jadi
begitu.
Doktor muda pertama kali melihat
pesakit yang mengalami ileus dan urinary retention disebabkan hyponatremia. Kerap
melihat pesakit hypokalemia dengan adanya ECG changes. Penyakit setahap
sedemikian disebabkan hanya oleh kekurangan garam, berlaku disebabkan
kelambatan pesakit mendapatkan rawatan.
Kanak-kanak metropolitan yang
mengalami bronchopneumonia tidak pernah doktor muda dengar crepitations pada
paru-parunya. Ini kerana kebanyakan mereka semua adalah partially treated,
mudah mendapat rawatan antibiotik sewaktu awal penyakit. Berlainan di sini.
Pengalaman merawat pesakit bleeding
placenta previa major yang dibawa menaiki bot dari sebuah pulau berdekatan
tidak dapat dilupakan. Setelah distabilkan di hospital daerah, kami perlu
hantar ke hospital besar pula untuk rawatan selanjutnya. Perjalanan di dalam
ambulan membuat doktor muda gemuruh dan risau kalau-kalau pesakit collapse
dalam perjalanan.
Namun alhamdulillah pesakit berjaya
diselamatkan.
THALAS, CHOLE DAN MALAR
Ingat lagi di Hospital Metropolitan
dulu, apabila terdapat sebuah kes malaria di wad, doktor pakar perunding
nasihat semua pegawai perubatan siswazah untuk pergi dan lihat kes tersebut
kerana jarang berlaku kes demikian di bandar metropolitan. Di daerah tempat
kerja doktor muda sini, demam malaria adalah kes endemik. Jadi semua pesakit
demam akan diperiksa BSMP/BFMP untuk ditapis.
Jadi di sinilah doktor muda banyak
belajar dengan melihat sendiri kes malaria teruk dengan komplikasi cerebral
malaria, renal failure, anaemia, jaundice dan sebagainya. Dengan itu kita
belajar tentang rawatannya menggunakan artesunate, artequin(gabungan artesunate
dan mefloquin), riamate dan sebagainya.
Dan baru-baru ini pula, berlaku
wabak cholera di daerah. Kalau sebelum ni di wad pediatrik Hospital
Metropolitan hanya berbuih bertanyakan tanda-tanda cholera tetapi tidak pernah
jumpa pun kesnya, tapi di sini dapat doktor muda lihat sendiri keadaan
kanak-kanak dan dewasa yang mengalami jangkitan cholera. Dalam kes cholera,
pesakit akan mengalami electrolyte imbalance yang teruk berbanding penyakit
acute gastroenteritis lain. Mereka datang dengan Sodium 120-125 dan Potassium
2-2.5, dengan keadaan tidak bermaya.
Sepanjang di Hospital Metropolitan,
seingat doktor muda, hanya pernah jumpa satu pesakit Thalassemia masuk ke wad
untuk transfusi darah. Di hospital daerah sini, doktor muda jumpai ramai
pesakit kanak-kanak yang mengalami Thalassemia. Di daerah, berlaku banyak
perkahwinan di kalangan saudara mara atau sekampung atau sebangsa, maka
kebarangkalian untuk menghidap penyakit Thalassemia adalah lebih tinggi.
Doktor muda belajar tentang proses
penapisan kes Thalassemia, lawatan lanjut mereka, ubat-ubatan dan sebagainya.
Si ibu berkata,”Aku ni endak pandai,
baca huruf, nombor pun tidak reti. Anak aku pergi sekolah. Dialah yang tolong
tunjuk nombor giliran ini,” setelah ditanya kenapa lambat masuk bilik setelah
nombor dipanggil. “Nanti kamu besar, pastikan anak kamu lagi pandai daripada
kamu,” kata doktor muda pada anak ibu tersebut. Dia tersenyum.
Bangunlah anak bangsa. Jadilah generasi gemilang yang cintakan negara, bukan khianati. |
CHA CING
Ramai kanak-kanak dibawa ibubapa
mereka untuk mendapat rawatan demam, batuk dan selsema. Ada sesetengahnya doktor
muda perasan, datang dengan kurus kering dan pucat.
Apabila disemak full blood
count(FBC), ramai yang Hemoglobin-nya(Hb) rendah 7-8 g/dL. Mean cell
volume(MCV) dan mean cell hemoglobin(MCH) juga rendah. Apabila diselidik lagi
iron workout dan peripheral blood film menunjuk ke arah iron deficiency
anaemia. Status kehidupan yang rendah tampak memberi kesan pada nutrisi
anak-anak di daerah.
Jika diselidik lagi, eosinophil
count juga tinggi, menyebabkan kita suspek infestasi cacing atau helminthiasis.
Bila ditanya ibunya, ada yang kata anaknya ada muntah dan buang air besar
keluar cacing. Ada yang sudah besar pun datang berkaki ayam, tidak berkasut.
Ada penolong pegawai perubatan(MA) simpati dan hulur RM10 pada budak itu untuk
dibeli kasut.
Salah satu differential diagnosis
untuk sakit perut di kalangan kanak-kanak di daerah adalah acute pancreatitis.
Ianya disebabkan mechanical obstruction oleh cacing. Doktor muda ada lihat satu
kes budak umur 7 tahun dengan serum amylase >> 2000.
Dunia kanak-kanak dan doktor di
daerah lain daripada kanak-kanak dan doktor di kota metropolitan.
SYUKUR
Pesakit-pesakit di daerah secara
umumnya lebih menghargai doktor. Kadang-kadang doktor muda tidak sempat pun
habis cakap, pesakit sudah ucap berbanyak-banyak terima kasih.
Ada sekali doktor muda ‘basuh’ betul-betul
seorang pakcik yang degil tidak menjaga penyakit kencing manisnya. Pakcik tu
senyap dengar saja. Kemudian baru rakan sekerja beritahu pakcik tersebut antara
orang-orang kaya di daerah. Tercengang doktor muda bila dengar. Nasib baik
pakcik tu tidak buat aduan.
Ternampak saya seorang kanak-kanak
kecil yang mempunyai enam jari(polydactily). Doktor muda, yang dulunya pernah
bekerja selama sebulan di bawah orthopaedic paeds, pun bertanya, “Mamak ada
buat temujanji dengan doktor tulang? Ada rancang nak buangnya?” “Eh buat apa?
Bersyukurlah Allah bagi dia macam tu,” dengan penuh yakin kata ibunya.
Tersengih malu saya. Mungkin ada
perkara di dunia ini yang tidak perlu dirawat sebenarnya. Yang perlu dirawat
adalah hati.
Pokok tidak mengadu nasib dibesarkan di dalam longkang. Sebaliknya berusaha tumbuh mencari mentari. Bersyukurlah. |
Seorang makcik meracau di wad. Buah
pinggangnya semakin rosak. Blood urea pesakit mencecah 60. Makcik mengalami
uraemic encephalopathy. Namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau
bukan warganegara. Suaminya tidak mampu untuk menanggung kos rawatan jika
dirujuk ke hospital besar.
Di daerah dan di negeri ini,
terdapat ramai pendatang asing. Kerajaan tidak mampu untuk menampung mereka,
maka untuk mendapatkan rawatan, mereka perlu membayar lebih berbanding warga
tempatan.
“Takpelah........ kalau memang sudah
ajalnya, kita tidak boleh buat apa-apa juga,” kata suaminya. Sebak hati doktor
muda mendengar kata-kata pakcik menerima takdir. Sedangkan doktor muda tahu ada
ikhtiar untuk menyelamatkan isterinya. Namun yang menghalangnya adalah duit.
CERITA ASAL
Mungkinkah begini cerita asalnya.
Suatu ketika dahulu, di sebuah daerah, manusia melihat kehidupan itu bermula
dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian. Hidup dengan bersyukur apa yang
ada dan ketahui kematian adalah kepastian. Tabib dan bidan membantu setakat
yang mereka mampu dan menyerahkan selebihnya pada takdir. Manusia meninggal
dunia dengan penerimaan.
Kemudian daerah itu membangun maju
dan penduduknya hidup senang. Kehidupan bermula dengan kelahiran yang sempurna,
hidup yang mewah dan kematian ditangguh-tangguhkan. Adalah tugas doktor untuk
merawat penyakit, menghindar kematian dan memulihkan kesempurnaan. Jika doktor
tersilap dan gagal, jangan salahkan takdir. Manusia meninggal dunia dengan
tidak berpuas hati.
Pada suatu ketika dulu.......