Ada segelintir masyarakat yang mengganggap bahawa kesihatan pergigian bukanlah isu utama dalam kehidupan mereka. Mereka merasakan kualiti hidup bergantung kepada sejauh mana organ dalam tubuh mereka boleh menjalankan fungsi dengan baik. Contohnya, keupayaan jantung mengalirkan darah ke seluruh tubuh dengan baik serta keupayaan organ-organ utama yang lain seperti ginjal dan hati dalam menjalankan fungsi masing-masing.
Tahukah anda bahawa bilangan gigi yang normal adalah 20 batang untuk kanak-kanak dan 28 ke 32 batang untuk dewasa? Tahukah anda juga bahawa gigi adalah tulang yang paling kuat pada tubuh manusia? Tahukah anda bahawa gigi geraham atas mempunyai 3 akar manakala gigi geraham bawah mempunyai 2 akar? Tahukah anda bahawa setiap satu morfologi(bentuk,saiz) gigi adalah berbeza-beza? Tahukah anda bahawa setiap gigi mempunyai setiap fungsi yang berbeza dalam memastikan makanan dibawa dengan selamat ke dalam usus perut? Tahukah anda bahawa gigi mempunyai 3 lapisan utama yang mempunyai karakter mikroskopik yang berbeza-beza sesuai dengan fungsinya yang berbeza?
Dan tahukah anda bahawa Allah menciptakan gigi dengan sebegitu banyak ciri-ciri istimewa bukan dengan tujuan yang sia-sia? Namun betapa ramai masyarakat kita hari ini memandang enteng tentang penjagaan gigi seolah-olah gigi yang begitu kompleks penciptaannya itu tidak memberi sebarang makna kepada kualiti kehidupan mereka.
Benarkah begitu?
Jika anda benar-benar menghargai dan mensyukuri gigi sebagai salah satu nikmat daripada Allah, kenapa anda tidak berusaha untuk memastikan gigi anda dijaga dengan baik?
Justeru, saya akan kongsikan kisah seorang pesakit saya yang akhirnya mengetuk dahi mereka sendiri kerana alpa dalam penjagaan gigi. Sebelum itu, ingin saya ingatkan bahawa saya tidak menuding satu jari kanan kepada mereka untuk mengatakan mereka memang patut menyesal. Tidak juga 5 jari kanan untuk mengatakan mereka patut menanggung kesannya, apatah lagi 5 jari kiri untuk mengatakan mereka yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas kealpaan mereka itu.
Tetapi jari-jari yang ada di kedua belah tangan saya ini ingin sekali saya tuding ke arah semua doktor pergigian yang mempunyai tauliah tetapi gagal menyampaikan maklumat tentang kesihatan pergigian, juga kepada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan termasuk swasta yang menyulitkan lagi proses rawatan kepada mereka, serta sesiapa sahaja yang terasa patut menyalahkan diri mereka sendiri, khasnya untuk mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mahu beramal dengan ilmu mereka.
Semoga kisah ini menjadi salah satu wadah untuk saya menyampaikan maklumat tentang kepentingan penjagaan kesihatan pergigian kepada masyarakat. Semoga anda dapat melihat kaitan antara gigi dengan kualiti kehidupan yang baik.
Seorang pesakit saya bermusafir dari Indonesia ke dua buah hospital yang tidak dapat merawat kesan trauma yang dihadapinya 2 minggu yang lalu. Beliau akhirnya ke hospital tempat saya bekerja untuk mendapatkan rawatan. Rahang bawahnya patah, bersilang dan gigi di rahang bawahnya bertindih akibat daripada kemalangan. Tisu sudah bersatu. Rawatan yang ada hanyalah mematahkan kembali rahang bawah dan mencamtumkan kembali yang bersilang kepada asal. Rawatan berjaya walaupun sepatutnya pesakit terus mendapatkan rawatan dalam tempoh kurang seminggu selepas trauma sebelum tisu bercantum.
***
Dari jauh saya melihat satu susuk tubuh yang dibaluti dengan pakaian yang indah. Dari atas ke bawah tertutup kemas selaku dirinya merupakan seorang muslimah. Beliau dipanggil masuk apabila gilirannya sudah tiba.
Saya memandang wajahnya yang bersih dan berseri-seri itu. Seperti biasa selepas memastikan pesakit tiada sebarang masalah kesihatan yang berkaitan, saya bertanya apakah masalahnya.
“Mak Cik akan pergi haji sebulan lagi.”
“Ya kah? Alhamdulillah.” Saya memberi respon.
“Tetapi Mak Cik risau tak ada gigi. Atas depan tak ada. Bawah tak ada. Tepi-tepi ni pun tak ada.” Sambungnya sambil jari telunjuk dialihkan ke kawasan yang dimaksudkan.
Mungkinkah Mak Cik ini berasa sukar untuk makan? Mungkin segan untuk bercakap? Atau segan untuk memberi seulas senyuman? Atau sisa makanan sering tersekat di kawasan yang tiada gigi? Boleh jadi juga gigitan sudah tidak seragam kerana ketiadaan beberapa batang gigi?
Atau ada gigi yang goyang akibat tekanan yang tinggi kepada gigi yang masih ada ketika mengunyah? Atau?
Beliau menyambung. Wajahnya yang tadi tampak tenang kini melahirkan kedutan di kiri dan kanan.
“Mak Cik tak dapat nak mengaji!”
Tersentap saya mendengarnya. Sambungnya lagi,
“Doktor, susah Mak Cik nak sebut huruf-huruf tertentu. Bunyi lain, maksud jadi lain. Memang Mak Cik tak menjaga gigi. Tapi Mak Cik tak sedar bila tak ada gigi rupa-rupanya bukan sahaja susah nak makan dan nak bercakap pun segan. Tetapi bila dah nak pergi haji baru Mak Cik rasa sukar hendak mengaji.”
Kualiti hidup anda ditentukan dengan bagaimana anda melihat erti kehidupan itu sendiri. Jika anda merasakan hidup anda bererti apabila anda boleh membaca al-quran dengan baik, maka ingin saya tekankan bahawa gigi anda yang tiada memang mengganggu kelancaran sebutan huruf-huruf tertentu.
Memang gigi palsu dan tanaman gigi (dental implant) boleh memberi penyelesaian, namun tiada yang sebaik gigi original dan rawatan itu sendiri ada pro dan kontranya. Tidak semua pesakit sesuai untuk rawatan yang dinyatakan. Tambahan lagi, rawatan itu bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Jadi anda bersetuju dengan saya bahawa gigi memberi impak kepada kualiti kehidupan anda? Mungkin saat ini sempena sambutan tahun baru 2012 kita patut mengambil sedikit masa untuk merenung bagaimana kita ingin menjadikan kehidupan kita lebih bererti. Apa sebenarnya yang memberi erti kepada hidup kita?
Jika kita ingin menjadikan kehidupan kita adalah sepenuhnya beribadah kepada Allah sepertimana yang dinyatakan dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, saya ingin tegaskan 2 perkara.
Pertama, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Islam mengajar kita untuk sentiasa memastikan kebersihan, maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri membersihkan gigi setiap kali sebelum solat! Gigi yang bersih memberi jaminan bahawa anda menjaga kebersihan. Justeru semakin banyak bilangan gigi yang berlubang menunjukkan betapa anda bukanlah seorang yang pembersih. Adakah itu wajar untuk memanifestasikan tahap keimanan anda?
Kedua, kekhusyukan dalam beribadah menentukan sejauh mana bernilainya amalan kita di sisi Allah. Perbuatan yang tidak khusyuk mungkin melahirkan kesan yang tidak dikehendaki. Buktinya betapa ramai masyarakat yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat. Saya melihat ramai pesakit saya merasakan kesakitan pada gigi sukar untuk dikawal. Ia sakit dan mengganggu aktiviti seharian mereka.
Sebagai seorang Muslim, adakah kita berasa mudah untuk khusyuk dalam solat jika gigi sedang sakit? Mungkin kita akan mempercepatkan solat? Malah kekadang ada yang langsung tidak solat. Apatah lagi ibadah sampingan yang lain. Memanglah kita tidak minta untuk sakit. Tetapi sakit gigi bukanlah suatu proses yang berlaku dalam tempoh sehari atau seminggu.
Tahun masihi 2012 adalah tahun baru yang diraikan oleh seluruh warga dunia. Setiap tubuh pasti mengharapkan tahun baru menjanjikan kehidupan yang lebih bererti untuk mereka. Saya ingin menyarankan anda untuk menjadikan tahun 2012 sebagai tahun permulaan anda untuk menjaga kesihatan gigi.
***
Beberapa pesakit datang mendapatkan pemeriksaan gigi,
“Are you coming for check up and scaling?” Saya bertanya kepada seorang pesakit yang berusia pertengahan 20 an. Dia adalah perokok.
“Yes, Dr. I want new teeth for new year!”
Saya gembira mendengarnya walaupun saya mengalami sedikit kesukaran ketika melakukan penskaleran(cucian) gigi kerana beliau adalah seorang perokok. Perokok sering mempunyai gigi yang lebih kotor berbanding bukan perokok.
Pesakit yang berusia awal 50-an ini menghidap kanser hidung dan tekak, Nasopharyngeal Carcinoma, NPC. Kalau giginya bagus pasti tiada apa yang perlu beliau risaukan tentang hakikat bahawa 11 batang giginya perlu dicabut untuk mencegah komplikasi akibat rawatan radioterapi kelak!
Nasihat saya, berjumpalah dengan doktor pergigian dan dapatkan pemeriksaan gigi segera. Keyakinan anda untuk berada di tengah-tengah masyarakat juga dipengaruhi oleh keadaan gigi anda. Dan orang juga mungkin menilai anda dengan melihat bagaimana keadaan gigi anda.
‘Kotornya.’
‘Ada hitam di tengah-tengah gigi.’
‘Nafas berbau.’
Sekarang anda bersetuju dengan saya bahawa gigi mempengaruhi kualiti kehidupan anda? Jika ya, dapatkan pemeriksaan segera!
Nota kaki:
- Daripada Ibn Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda : “Jadikan bersugi itu satu amalan, kerana ianya (bersugi) menyihatkan mulut dan merupakan kesukaan kepada Maha Pencipta.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (Hadis riwayat Muslim)
- Sesungguhnya Allah SWT menciptakan jin dan manusia tidak ada tujuan lain melainkan hanya untuk beribadah kepada Nya sahaja dan hanya beribadah itu sahajalah jalan yang dapat menyelamatkan jin dan manusia di dunia dan di akhirat nanti. (Az Azzariyat : 56)
- Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup dan mati ku adalah untuk Allah Rabb sekalian alam. (Hadis Riwayat Muslim)
3 maklum balas:
Good info
Thank you.
salam semua… sebenarnya punca utama semua jenis kanser adalah kekurangan Vitamin B17/Amygdalin… boleh buat search di google pasal ubat B17 nie adalah penawar/ubat kepada semua jenis kanser tak kira tahap brape pun.. B17 nie tggi dalam biji aprikot, biji buah2an berry mcm acai berry, burberry, anggur, epal, kacang hijau, ubi kayu, daun sireh, daun belalai gajah, keladi tikus… tu sbb org2 tua dulu kadar kanser sgt kurang sbb mereka mengamalkan makan ubi kayu, daun sireh, ulam2an, keladi.. kita skrg mmg xmakan atau kurang makan bnda2 mcm ni, tu yg kanser terlalu tggi dlm zaman kita… sesiapa yg ingin mendapatkan ubat kanser iaitu B17 + Bromilin + Graviola… boleh hubungi saya 019-9362993, atau emel di hubby_sr@yahoo.com atau join group facebook ‘PENAWAR/UBAT KANSER’.. sesuai utk merawat semua jenis kanser tak kira tahap brape… InsyaAllah boleh sembuh sepenuhnya dlm masa 2-3 bulan sekiranya mengikut tatacara yg betul….
Post a Comment